Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah

 Definisi pentadbiran dan pengurusan sekolah:

Dalam sesebuah organisasi termasuk organisasi pendidikan, pentadbiran atau pengurusan adalah penting bagi sesebuah sekolah. Tanpa pengurusan yang cekap, proses pengeluaran tidak dapat berjalan dengan baik. Dalam proses pentadbiran, ia berlaku sama ada di dalam sesebuah organisasi yang besar mahupun kecil serta organisasi formal atau tidak formal. Untuk menguruskan sesebuah organisasi, seseorang pentadbir atau pemimpin seharusnya memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pentadbiran.

Dalam organisasi, konsep pentadbiran dan pengurusan sekolah selalu digunakan dan saling bertukar ganti. Definisi pengurusan adalah lebih kurang sama dengan pentadbiran, iaitu proses mengarah, mengawal sesuatu institusi yang melibatkan perancangan. Di Malaysia istilah pentadbiran lebih kerap digunakan kerana ia lebih mengutamakan perkhidmatan berbanding keuntungan. Walaubagaimanapun, ramai yang bersetuju bahawa pentadbiran dan pengurusan tiada perbezaan.

Perkara yang penting dalam aspek definisi pentadbiran pendidikan ialah:

  • Pengendalian
  • Matlamat
  • Kualiti
  • Keberkesanan
  • Merujuk kepada sumber fizikal dan manusia

 

1.     Tugas pentadbiran sekolah:

      1.1   Proses pentadbiran sekolah

Proses pentadbiran mestilah bermula dengan merancang kemudian membuat keputusan serta memberitahu keputusan yang telah diambil, mengadakan proses kawalan untuk mencapai keputusan yang telah ditentukan dan menilai kembali aktiviti-aktiviti. Pusingan ini dapat membantu pengetua dalam menjalankan fungsi pentadbiran sekolahnya.

v  Merancang

v  Membuat keputusan

v  Komunikasi

v  Mengawal

v  Menilai

 

      1.2   Pengetua juga hendaklah melaksanakan tugas-tugas berikut:

v  Menentukan keperluan dan mengenal pasti masalah.

v  Mencari maklumat, menentukan sumber dan menyediakan khidmat bimbingan.

v  Mencadangkan polisi-polisi, tindakan dan memberi cadangan-cadangan alternatif.

v  Merancang dan melaksanakan perancangan.

v  Menilai kemakmuran.

 

2.     Tugas pengurusan sekolah:

      2.1   Peranan pengetua

Ø  Memahami dan mengetahui secara mendalam tentang Falsafah Pendidikan Negara yang terjelma dalam falsafah pendidikan sekolahnya, termasuk matlamat KBSR.

Ø  Membimbing, menyedar dan menyelia guru-guru di bawahnya ketika melaksanakan tugas mereka untuk memastikan segala program dan kegiatan yang dijalankan itu sesuai, selaras dan secocok dengan falsafah dan matlamat pendidikan tersebut.

Ø  Memainkan peranan yang positif dan serius untuk menjamin staf profesionalnya bukan sahaja setakat memahami bahkan juga bertindak untuk mencapai matlamat pendidikan yang ditetapkan, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Ø  Mempunyai peranan dan tanggungjawab ke atas kejayaan pencapaian hasrat, cita-cita dan kehendak falsafah serta matlamat pendidikan sesebuah sekolah.

Ø  Membimbing dan mendorong serta meransang guru untuk bekerja dengan semangat dedikasi dan komitmen yang tinggi dengan menggunakan kemahiran berkomunikasi.

Ø  Menjadikan sekolahnya sebagai lambang kepada segala nilai, kepercayaan, cita-cita dan hasrat yang diperjuangkan oleh sekolahnya serta berkeupayaan untuk menjelaskan tujuan dan rasional di sebalik pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum sekolah kepada semua pihak yang berkenaan.

 

      2.2   Peranan guru    

a)      Sebagai pendidik, guru-guru seharusnya menguasai pelbagai kemahiran iaitu:

Ø  Kemahiran belajar ke arah mempertingkatkan potensi pelajar-pelajar dalam proses pembelajaran.

Ø  Kemahiran berfikir ke arah mewujudkan pemikiran yang lateral iaitu bersikap positif, kreatif dan inovatif.

Ø  Kemahiran merancang ke arah mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan serta bersistematik.

Ø  Kemahiran menyediakan bahan pengajaran/pembelajaran ke arah mewujudkan pendekatan yang lebih bersifat ‘resource base’ dalam proses pengajaran.

Ø  Kemahiran mengajar iaitu dapat menggabungkan aspek-aspek teori-teori, pedagogi dan teknologi pendidikan untuk diintegrasikan dalam pengajaran.

Ø  Kemahiran menilai supaya dapat membuat analisis dan diognisis terhadap pencapaian pelajar dan hubungkaitnya dengan objektif pembelajaran.

Ø  Kemahiran membuat kajian pendidikan ke arah membudayakan masyarakat yang peka terhadap perkembangan penyelidikan dalam menentukan kualiti pendidikan.

Ø  Kemahiran berkomunikasi secara lisan dan tulisan ke arah melahirkan masyarakat yang penyayang, mempunyai nilai-nilai murni, bersefahaman serta semangat bekerjasama dalam satu pasukan.

Ø  Kemahiran mengurus dan menjalankan aktiviti luar ke arah melahirkan generasi yang mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi, sihat, berpengalaman, dinamik dan peka terhadap persekitaran luaran.

Ø  Kemahiran menangani masalah dan cabaran ke arah membentuk jiwa yang rasional berkeupayaan mengawal emosi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.

Ø  Kemahiran berusaha ke arah perkembangan kendiri ke arah memupuk imej kendiri (self-image), kesedaran diri (self-awareness) sebagai salah satu aspek motivasi diri.

 

3.     Kurikulum sekolah:

      3.1   Adalah berasaskan Kurikulum yang merangkumi perkara-perkara seperti kursus pengajian, sukatan pelajaran penjadualan waktu pembelajaran, pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah (kokurikulum) yang dilaksanakan secara terancang dan bahan-bahan sokongan yang dicadangkan, dihasilkan dan dibekalkan untuk pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah.

      3.2   Terdapat dua jenis kurikulum sekolah iaitu kurikulum tersurat dan kurikulum tersirat.

o   Kurikulum tersurat – aspek-aspek yang telah ditetapkan dan dinyatakan secara jelas dan terang seperti mata pelajaran, sukatan pelajaran, peruntukan masa, bahan-bahan pengajaran, kaedah-kaedah pengajaran dan pengurusan pengajaran.

o   Kurikulum tersirat – unsur-unsur yang tidak dirancang tetapi mempunyai pengaruh dan memainkan peranan yang berkesan terhadap proses kurikulum.

      3.3   Panitia mata pelajaran:

o   Merancang dan menyelaras pengurusan mata pelajaran masing-masing, memperbaiki dan meningkatkan mutu dan kekesanan pengajaran dan pembelajaran.

o   Memperbaiki dan mendapatkan strategi-strategi mengajar yang inovatif mengikut perkembangan pendidikan semasa.

o   Memperbaiki prestasi murid-murid di dalam peperiksaan sekolah atau peperiksaan awam dalam mata pelajaran berkenaan.

o   Mewujudkan semangat bekerjasama di antara panitia mata pelajaran dan persatuan akademik yang ditubuhkan di sekolah.

 

4.     Kokurikulum sekolah:

    4.1   Kepentingan gerakerja kokurikulum adalah berasakan bahawa semua murid harus mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Sekolah juga bertanggungjawab dalam menyediakan murid-murid untuk keperluan masyarakat yang mana masyarakat juga mempunyai tanggungjawab yang sama dalam mendidik murid-murid tersebut.

      4.2   Antara matlamat gerakerja kokurikulum yang hendak dicapai adalah:

Ø  Menyemaikan kesedaran agama dan kepercayaan kepada Tuhan di kalangan murid-murid.

Ø  Memperseimbangkan antara perkembangan mental dan fizikal murid-murid.

Ø  Mengukuhkan perhubungan dan pergaulan di kalangan murid-murid dalam sekolah dan di antara sekolah-sekolah.

Ø  Membina dan meningkatkan suasana sekolah supaya lebih menarik dan menggembirakan.

Ø  Membina dan meningkatkan kerjasama dan sumbangan dua hala di antara sekolah dengan ibu bapa dan masyarakat setempat.

 

5.     Kewangan sekolah:

Tanggungjawab tentang penggunaan kewangan sekolah diletakkan di bahu pengetua. Perbelanjaan kewangan mestilah mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Peraturan Kewangan Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. Peraturan itu termasuklah pemungutan wang, pengawalan perbelanjaan, penyimpanan dan penyelenggaraan cek, resit dan sebagainya. Segala kerja perlulah dilaksanakan secara betul dan bersistem supaya dapat memastikan kelancaran perjalanan sekolah. Kemantapan kewangan sesebuah sekolah bergantung kepada kebijaksanaan pengetua untuk membuat perancangan awal sebelum sesuatu perbelanjaan dilakukan. Maka wang yang diperuntukkan kepada sekolah dan lain-lain wang dapat dibelanjakan secara berfaedah kepada murid-murid khususnya dan kepada sekolah amnya.

 

6.     Pejabat sekolah:

Pejabat sekolah merupakan pusat di mana semua urusan luar dan dalaman dilakukan. Di situ juga terletaknya pengurusan yang menjadi asas organisasi pendidikan. Di situlah tenaga perkeranian memainkan peranan utama. Selain itu, permulaan hubungan sekolah dengan pihak atasan yang berkaitan dengan pendidikan dan juga hubungan dengan institusi-institusi lain serta masyarakat sekitar berlakunya di sini. Kepakaran pengetua, penolong-penolong kanan dan juga pembantu tadbir dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru dan murid membolehkan pengurusan pendidikan berjalan dengan lancar.

o   Menggalakkan pihak sekolah mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, bersih dan indah.

o   Mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif kepada pengajaran dan pembelajaran.

o   Menanamkan sikap sayang dan cinta kepada sekolah dan seterusnya mengurangkan perlakuan merosakkan harta benda sekolah.

o   Menggalakkan hubungan baik dan kerjasama di antara pihak sekolah dan masyarakat setempat serta agensi-agensi lain dalam usaha-usaha keselamatan, kebersihan dan keindahan.

o   Menyemai unsur-unsur keselamatan, kebersihan dan keindahan di sekolah-sekolah.

Dalam usaha untuk menceriakan kawasan sekolah, kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak-pihak lain termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga diperlukan. Selain itu, sekolah juga dapat memupuk budaya penyayang di antara waris, guru, para pentadbir dan murid-murid dengan menubuhkan Tabung Penyayang untuk membantu murid-murid yang tidak berkemampuan.  

Comments

Popular posts from this blog

Pengurusan Stor Sukan

Pengurusan Sumber Bengkel Kemahiran Hidup